January 20, 2012

Orang Tua Rebahkan Real Madrid



MADRID - Barcelona bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan penyandang juara, Real Madrid 2-1 pada perlawanan suku akhir timbal balik pertama Piala Raja Sepanyol yang berlangsung dalam suasana tegang di Santiago Bernabeu, semalam.

Jaringan dalam separuh masa kedua daripada pemain pertahanan veteran, Carles Puyol dan Eric Abidal mengubah keputusan setelah Real terlebih dahulu di depan pada babak pertama menerusi jaringan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo.

Kemenangan itu merupakan yang ketiga dalam tempoh 12 bulan buat Catalan di stadium musuh ketat mereka.
Pep Guardiola masih belum tewas di Bernabeu sepanjang empat musim menjadi pengendali dan pasukannya dilihat memiliki kelebihan psikologi ke atas Real.

Malah, kemenangan semalam ternyata menggembirakan Guardiola dan dia tidak sabar untuk mengharungi perlawanan kedua.

"Kami bermain baik malam ini (semalam) dan berjaya mengawal permainan, tetapi mereka merupakan sebuah pasukan yang berkualiti, apa-apa sahaja boleh berlaku. Jadi, kami perlu pulang dan bersedia untuk perlawanan kedua, selain pertemuan pada hujung minggu ini," katanya.

Jurulatih Real, Jose Mourinho pula kurang berpuas hati.

"Saya tidak jangka yang kami tumpas menerusi jaringan hasil sepakan bola mati seperti mana yang kami lakukan, ketika kami menang 1-0 dan pada peringkat ini, ia merupakan keputusan yang tidak bagus untuk Barca kerana ia merupakan gol terburuk. Dari segi psikologi ia amat pahit untuk diterima dan Barca mula mengawal permainan selepas itu.

"Perlawanan berikutnya amat sukar buat kami, peluang masih terbuka, tetapi amat sukar," katanya.

Mourinho melakukan kejutan apabila meletakkan pemain yang bukan menjadi kebiasaan apabila menggandingkan Karim Benzema dan Gonzalo Higuain di bahagian serangan, sementara di posisi pertahanan diisi oleh Hamit Altintop dan Ricardo Carvalho.

Kedua-dua pasukan memulakan aksi dengan berhati-hati apabila Real membiarkan Barca menguasai bola dan pasukan tuan rumah itu berjaya meledakkan gol pendahuluan pada minit ke-11. - Utusan