January 25, 2012

Ong Kim Swee Optimis

MESKIPUN peluang skuad bola sepak B-23 negara layak ke Sukan Olimpik 2012 London Julai depan tampak tipis, jurulatihnya, Ong Kim Swee tetap berpandangan positif menjelang aksi keempat Kumpulan C kelayakan Zon Asia menentang Bahrain di Stadium Nasional, Manama, 5 Februari ini.


“Memang peluang kita tipis tetapi perlawanan ini masih saya anggap penting kerana ia peluang terbaik untuk pemain muda kita menimba pengalaman pada baki tiga perlawanan kerana ini pertama kali kita mara sehingga pusingan akhir kelayakan Zon Asia.
“Bagi saya, jika tiada kecederaan menimpa pemain utama dan saya dapat turunkan kesebelasan terbaik pada 5 Februari nanti, saya percaya kita mampu meraih sekurang-kurangnya mata sulung bagi saingan Kumpulan C ini,” kata Kim Swee ketika dihubungi, semalam.

Barisan 25 pelatih bakal memulakan latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang ini dengan Kim Swee memanggil lapan pemain luar – Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Muslim Ahmad, Zubir Azmi (Terengganu), Wan Amirzafran Wan Nadris (Harimau Muda B), Azrif Nasrulhaq Badrul (PKNS), K Gurusamy (Selangor), Ahmad Fakri Saarani (FELDA) dan Ahmad Shakir Md Ali (N Sembilan).

Mara ke pusingan ketiga selepas menyingkirkan Pakistan dan Lubnan, skuad negara yang tewas tiga aksi awal Kumpulan C kepada Jepun 0-2, Syria 0-2 dan Bahrain 2-3 bakal melengkapkan saingan bertemu Jepun di Bukit Jalil pada 22 Februari dan Syria di tempat lawan, 14 Mac depan.

“Kembalinya Ahmad Shakir dan Ahmad Hazwan Bakri, saya harap mereka berdua dapat membuktikan kemampuan sebenar di pentas antarabangsa selepas cemerlang di saingan tempatan dan menjadi setanding Safee Sali. Barisan penyerang harus main peranan penting untuk berdepan Bahrain nanti,” jelas Kim Swee. 
Pengendali 42 tahun itu turut menunggu pengesahan juara Piala Singapura dan naib juara Liga-S 2011, Home United untuk aksi persahabatan di KuaIa Lumpur, 31 Januari ini, sehari sebelum berlepas ke Manama.