January 19, 2012

Kejutan Buat Chelsea dan Torres



PARIS - Bekas pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti menegaskan, dia tidak berniat untuk memalukan Chelsea selepas tersebarnya berita bahawa dia berhasrat membawa bintang penyerang kelab Liga Perdana Inggeris itu, Fernando Torres ke kelab barunya, Paris Saint Germain (PSG).

Ancelotti yang disingkirkan Chelsea hujung musim lalu menerima dana yang besar daripada pemilik PSG dari Qatar dan dia mahu menggunakan kesempatan itu untuk membawa lebih ramai bintang dunia ke Perancis sepanjang pasaran perpindahan pemain dibuka.

Malah, beberapa agen pemain dari Eropah juga telah mendekatinya dengan cadangan pemain, malah memberitahunya dia juga boleh membeli Torres andai bintang penyerang Sepanyol itu berada dalam senarai pemain yang dimahukan.

Masih tidak dipastikan sama ada Ancelotti mahu bergabung sebelum dengan penyerang yang bergelut sepanjang berada di Stamford Bridge biarpun dia sendiri mengetuai misi membeli pemain itu dengan harga yang mahal, 50 juta pound (RM240 juta) dari Liverpool.

"Saya menerima panggilan daripada beratus ejen yang menawarkan saya pemain sejak saya menyertai PSG.

"Mereka menawarkan saya beberapa nama yang hebat, malah ada pemain yang baru menandatangani kontrak menakjubkan bersama kelab lain

"Semua mereka mahu datang ke sini. Inilah kuasa Paris, wang, jurulatih yang bagus dan reputasi kelab yang baik,'' kata Ancelotti.

Ketika ditanya, apakah nama Torres antara yang dijaja ejen tersebut, Ancelotti menegaskan, dia tidak mahu membincangkan secara terbuka siapakah pemain-pemain yang terlibat dalam rundingannya, termasuk Torres.

Chelsea sebelum ini menegaskan, Torres bukan untuk dijual, malah ketiadaan bintang penyerang Ivory Coast, Didier Drogba yang beraksi pada kejohanan Piala Negara-Negara Afrika sehingga pertengahan Februari, menjadikannya lebih mustahil untuk skuad Blues melepaskan Torres.

Sukar untuk digambarkan, bagaimana reaksi yang akan ditunjukkan Chelsea apabila menerima tawaran untuk membeli pemain berusia 27 tahun itu.

Biarpun baru menyertai PSG, Ancelotti tidak menyembunyikan minat untuk kembali ke Liga Perdana dengan Tottenham dan Arsenal kini disebut-sebut sebagai pasukan yang menjadi pilihannya. - Utusan