January 19, 2012

Effa Takutkan Felda



"PADAH menanti kami jika membenarkan penyerang import berbisa Negeri Sembilan itu menguasai kotak penalti kami."
Demikian pengakuan jurulatih Felda United, E. Evalarasan ketika mengingatkan barisan pemainnya untuk mengawasi Jean Emmanuel Effa Owona yang dianggap senjata paling merbahaya dalam skuad Negeri Sembilan.
Felda United akan membuat perhitungan dengan skuad kendalian Mohd. Azraai Khor Abdullah itu, Sabtu ini.
Selepas kejayaan menewaskan Selangor 1-0, Elavarasan mahu bersikap lebih realistik dan tidak mahu barisan pemainnya mendabik dada ekoran kejayaan menundukkan juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali itu.
Sebaliknya, dia mahu pemainnya terus fokus menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan yang beliau anggap sebagai satu lagi perlawanan paling mencabar buat mereka.
Meskipun sedar dengan keupayaan mereka berbanding Negeri Sembilan, namun Elavarasan tetap bertekad untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan tersebut yang akan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi hujung minggu ini.
Elavarasan berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan pemainnya setakat ini kerana telah menunjukkan komitmen yang begitu tinggi.
Menurutnya, bukan mudah untuk menewaskan Selangor yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim, namun atas kesungguhan semua pemain mereka berjaya meraih tiga mata penuh daripada perlawanan kelmarin.
"Saya berharap rentak seperti ini akan terus dikekalkan dan saya yakin semua pemain tahu dan faham dengan tanggungjawab masing-masing," katanya.
Begitu pun, dia tetap mahukan anak-anak didiknya terus bekerja keras jika berhasrat untuk menduduki kelompok teratas Liga Super musim ini.
"Saya bangga dengan prestasi anak-anak buah saya selepas kejayaan menundukkan Selangor dan ia merupakan kemenangan kedua kami musim ini selepas mengharungi tiga perlawanan.
"Akan tetapi, kami harus memandang ke depan dan selepas ini perlu memberi fokus terhadap perlawanan menentang Negeri Sembilan. Saya jangkakan ia satu pertemuan sukar kerana saya yakin Negeri Sembilan akan bangkit bagi menebus kekalahan 1-2 mereka kepada Perak kelmarin.
"Mereka pasti mahu bangkit dan kembali untuk mencari rentak kemenangan di laman sendiri. Meskipun kami pernah bertemu dengan Negeri Sembilan, tetapi saingan kali ini pasti lebih sengit selepas beberapa pemain baharu mereka menunjukkan satu peningkatan yang menakjubkan.
"Kelibat Effa sentiasa menjadi igauan kepada benteng pertahanan lawan di mana dia memiliki gerakan penyudah yang bagus dan kami perlu mengambil serius untuk mengatasi pergerakannya," katanya kepada Kosmo! semalam.
Tambahnya, dengan membarisi kudrat pemain tempatan 100 peratus, beliau percaya Felda United akan tampil sebagai pencabar yang perlu disegani.- Kosmo