January 25, 2012

Dalglish Seru Bangkit


MANCHESTER - Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish menuntut barisan pemain pasukan itu kembali menampilkan aksi cemerlang menjelang dua perlawanan penting pada minggu ini.
Selepas tewas mengejut 1-3 kepada Bolton Wanderers dalam saingan Liga Perdana England Sabtu lalu, skuad The Reds bakal melayan kunjungan Manchester United pada aksi pusingan keempat Piala FA, Sabtu ini.
Ia merupakan perlawanan pertama antara kedua-dua pasukan sejak penyerang Liverpool, Luiz Suarez digantung lapan perlawanan kerana melemparkan kata-kata berbaur perkauman kepada pemain pertahanan United, Patrice Evra pada Oktober tahun lalu.
Begitupun, sebelum bertemu United, Liverpool bakal berdepan tugas getir apabila dijadual menentang Manchester City pada aksi separuh akhir kedua Piala Liga awal pagi esok selepas menang 1-0 pada pertemuan pertama lalu.
Selepas lapan musim tanpa sebarang gelaran juara, Dalglish kini sedar bahawa skuad kendaliannya itu tidak boleh tersilap langkah apabila berdepan City seperti mana ketika tewas kepada Bolton.
"Sepanjang musim ini, kami (Liverpool) telah bertolak ansur dengan cara pemain-pemain melaksanakan tugas mereka. Namun, ia sudah tidak boleh diberi kelonggaran lagi berdasarkan prestasi ketika kami tewas kepada Bolton.
Pertemuan dengan City sangat penting buat skuad The Reds dalam misi menamatkan kemarau kejuaraan selama lapan tahun.
"Persembahan mereka pada perlawanan tersebut sangat buruk. Saya sendiri tidak pasti apa yang mereka fikirkan ketika itu.
"Mungkin mereka terlalu memikirkan mengenai dua perlawanan berikutnya menentang United dan City. Namun, bagi saya, semua perlawanan yang diharungi adalah sama penting.
"Kini, kami akan meletakkan fokus kami terhadap pertemuan menentang City. Kami perlu mengatasi masalah kami sendiri," kata Dalglish.
Pada pertemuan menentang City itu nanti, Dalglish dijangka akan melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama skuad The Reds terutamanya selepas dua tonggak utamanya, Stewart Downing dan Dirk Kuyt sudah boleh diturunkan semula. - AFP