January 20, 2012

Beckham Kekal Di Amerika



LOS ANGELES - Bekas kapten England, David Beckham menandatangani kontrak baharu selama dua tahun dengan kelab Amerika Syarikat, Los Angeles (LA) Galaxy kelmarin.
Beckham berkata, keputusan itu dibuat selepas keluarganya mahu terus menetap di negara tersebut dan dia berharap akan kekal di sana untuk satu tempoh yang panjang.
"Keluarga dan saya berasa gembira untuk terus menetap di sini dan kami teruja untuk berada di negara ini bagi satu tempoh yang panjang," kata Beckham.
Bekas pemain tengah Manchester United dan Real Madrid itu berkata, dia mencapai persetujuan untuk menandatangani kontrak baharu selama dua tahun bersama kelab Liga Bola Sepak AS (MLS) itu.
Sebelum ini, kontraknya selama lima tahun dengan kelab itu berakhir pada akhir bulan lalu.
"Ini adalah suatu keputusan yang penting buat saya," kata Beckham yang akan mencecah usia 39 tahun sebaik kontrak baharunya itu tamat.
"Saya memperoleh banyak tawaran dari beberapa kelab di seluruh dunia. Begitupun, saya tetap teruja untuk bermain di AS dan memenangi trofi bersama LA Galaxy.
Meskipun butiran terperinci kontrak tersebut tidak didedahkan, Beckham dijangka diberi kebenaran untuk meninggalkan saingan MLS bagi membolehkannya menyertai skuad Britain pada Sukan Olimpik 2012 di London, Julai depan.
Beckham dilaporkan menolak tawaran kelab mewah Perancis, Paris-Saint Germain kerana isteri dan anak-anaknya seronok tinggal di Los Angeles.
"Saya terkejut apabila Beckham membuat keputusan untuk terus menyertai LA Galaxy, terutamanya apabila dia memperoleh banyak pilihan untuk meneruskan karier," kata pengurus besar dan jurulatih LA Galaxy, Bruce Arena.
"Saya merasakan dia adalah salah seorang pemain terbaik dalam MLS musim lalu dan kami tidak mungkin mencapai kejayaan tersebut tanpa kehadirannya.
"Kami memandang ke hadapan untuk mengulangi kejayaan itu musim ini bersama Beckham yang menyarung jersi LA Galaxy."
- Kosmo