January 25, 2012

Balotelli Kena Buah


LONDON - Penyerang kontroversi Manchester City, Mario Balotelli digantung empat perlawanan kerana melakukan keganasan ke atas pemain tengah Tottenham, Scott Parker pada saingan Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Persatuan Bolasepak (FA) England selepas Balotelli dilihat sengaja memijak Parker dalam perlawanan yang menyaksikan City menumpaskan Spurs 3-2.

Pemain kelahiran Itali itu bagaimanapun diberi tempoh sehingga hari ini untuk mengemukakan rayuan.

Insiden tersebut mencetus kemarahan pengurus Spurs, Harry Redknapp kerana pengadil, Howard Webb langsung tidak memberi hukuman kepada Balotelli, apatah lagi penyerang itu menjadi faktor kekalahan Spurs selepas memanfaatkan sepakan penalti pada masa kecederaan.

Namun, Webb yang menyaksikan ulang tayang video memberitahu FA, jika dia melihat insiden itu dengan lebih jelas, dia pasti mengarahkan Balotelli dibuang padang.

Jika Balotelli menerima hukuman tersebut, dia bakal memulakan penggantungan pada separuh akhir kedua Piala Liga menentang Liverpool, hari ini.

Sekiranya merayu, pemain berusia 21 tahun itu boleh beraksi di Anfield sehingga menunggu kesnya didengar pada minggu ini.

''FA telah mendakwa penyerang Manchester City, Mario Balotelli ekoran tindakan ganasnya di tempat sendiri ketika berdepan Tottenham Hotspur.

''Balotelli terlibat dalam insiden dengan Scott Parker ketika menang 3-2 ke atas Tottenham dan dia diberi masa hingga 6 petang (waktu England) untuk memberi maklum balas mengenai insiden tersebut, "kata kenyataan rasmi FA England.

Jika digantung, Balotelli juga akan terlepas dua pertemuan di gelanggang lawan, menentang Everton dan Aston Villa serta satu perlawanan berdepan Fulham pada 4 Februari. - AFP