January 20, 2012

79 Minit Bukan Penghalang Bagi Owen



LONDON - Michael Owen masih belum berputus asa untuk mengatasi rekod jaringan terbanyak di England.
Owen memiliki keinginan itu meskipun dia hanya bermain selama 79 minit dalam Liga Perdana England musim ini.
Penyerang Manchester United berusia 32 tahun itu masih memasang impian untuk mengatasi rekod 49 jaringan yang dilakukan pemain England, Bobby Charlton.
Begitupun, dia mengakui peluang beraksi di peringkat antarabangsa sudah tertutup selagi Fabio Capello masih menjadi jurulatih skuad The Three Lions itu.
"Saya berbangga dengan sumbangan dan apa yang telah saya lakukan kepada England," kata Owen.
"Sudah tentu rekod Bobby menjadi misi utama saya. Saya mampu melakukannya."
Owen pernah menjadi pemain utama buat England, Liverpool dan Real Madrid dan tempatnya dalam skuad utama juga terjamin setelah beraksi dalam beberapa Piala Dunia serta Kejuaraan Eropah.
Dia menjaringkan 40 gol dalam 89 perlawanan bersama England untuk berada di belakang wira England yang memenangi Piala Dunia 1966, Charlton.
Namun, karier Owen dalam skuad England mula tipis apabila Capello mengambil alih selepas pasukan itu gagal melayakkan diri ke Euro 2008.
"Sebaik saja Fabio Capello tiba, peluang saya telah tertutup," katanya.
"Saya harus menerima hakikat ini. Saya tidak tahu mengapa, ia sesuatu yang kamu perlu tanya dia sendiri." - Kosmo