November 19, 2011

Yakin Mampu Tundukkan Myanmar



Sultan Ahmad Shah
Sultan Ahmad Shah
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah meramalkan Harimau Muda akan berjaya menundukkan Myanmar 2-0 pada saingan separuh akhir bola sepak Sukan SEA hari ini, untuk ke pentas final bagi mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu. 

Baginda yang kelihatan teruja dengan kemenangan 1-0 Malaysia ke atas pasukan tuan rumah, Indonesia malam kelmarin untuk menjuarai Kumpulan A, bertitah:
"Kita mesti menang perlawanan ini (separuh akhir) dan terus mara ke final dan siapa juga yang akan ditentang pada final nanti, kita mesti pastikan (kita) menang.” Baginda mahu skuad negara memperkemaskan lagi corak permainan dengan menggunakan pendekatan lebih agresif dalam memburu kemenangan.

“Pemain harus mempamerkan permainan lebih agresif menentang Myanmar, jangan suka simpan bola lama-lama dan paling utama jangan berlengah-lengah di depan pintu gol," titah baginda kepada pemberita selepas merasmikan dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan di Kuantan, semalam. 

"Jangan panik.... bermain dengan konsisten dan pastikan gawang sendiri tidak dibolosi. 

"Kami di Malaysia akan terus memberi sokongan dan berharap semua atlit negara yang berkampung di sana juga dapat turun memberi sokongan bagi menaikkan lagi semangat pemain," titah baginda. 
Malaysia juara bertahan bola sepak Sukan SEA, melayakkan diri ke separuh akhir dengan menjuarai Kumpulan A untuk bertemu Myanmar yang menduduki tempat kedua Kumpulan B. 

Harimau Muda memulakan kempen peringkat kumpulan terikat seri 0-0 dengan Singapura sebelum melakar kemenangan 2-1 ke atas Thailand, Kemboja 4-1 dan menundukkan tuan rumah Indonesia 1-0. 

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!