August 11, 2011

Shebby | Terus Beri Sokongan Kepada Jurulatih Dan Pemain Harimau Malaya


Pengulas sukan terkenal, Sherbegeth Singh masih yakin dengan kemampuan Ketua Jurulatih Datuk K.Rajagobal dan barisan pemain Harimau Malaya meskipun gagal melayakkan diri ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia Zon Asia.

"Prestasi turun naik adalah perkara biasa yang berlaku kepada seseorang pemain, tapi saya sebagai individu masih lagi ada keyakinan dengan mereka generasi pemain handal yang wujud selepas 20 tahun," katanya, yang lebih dikenali sebagai Shebby.

Impian Malaysia untuk melakar sejarah dengan melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2014 musnah apabila dinafikan oleh Singapura dengan agregat 4-6.

Beliau berkata sepatutnya selepas kekalahan tersebut beberapa perkara harus dinilai kembali seperti faktor kekalahan, prestasi pemain menurun dan ilmu kejurulatihan sekarang, sama ada mampu membawa bola sepak Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

"Janganlah heboh untuk terus menukar pemain yang gagal beraksi dengan baik atau menukar jurulatih, perlu diingatkan pasukan ini sudah lama dibentuk dan perlu terus diberi peluang," katanya.

"Kadangkala kekalahan juga penting kerana tiada pasukan akan berjaya selama-lamanya dan ini peringatan kepada pasukan negara agar tidak dibuai mimpi indah kejayaan meraih pingat emas pada Sukan SEA di Laos 2009 dan Juara AFF 2010,

"Kekalahan juga akan memaksa pasukan kebangsaan dan jurulatih untuk mencari, menambah ilmu, perbaiki taktik dan prestasi pemain dalam pasukan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program ESPN STAR Sports sempena musim baru Liga Perdana English (EPL) 2011/2012.

Sementara itu, ditanya mengenai barisan pertahanan negara yang dikawal oleh pemain muda dan nampak mudah dibolosi dalam beberapa perlawanan terakhir, Shebby hairan kenapa baru sekarang persoalan itu ditimbulkan.

"Semasa Malaysia menjuarai AFF 2010 inilah pemain yang mengawal pertahanan negara, kenapa baru sekarang perkara ini ditimbulkan?," soalnya.

Beliau berkata pemain pertahanan negara - Muslim Ahmad dan Fadhli Shas masih pemain pertahanan yang baik dan yang lebih penting sekarang ialah mengkaji faktor prestasi mereka menurun secara mendadak.- Bernama

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!