August 8, 2011

Perisai Komuniti | United 3 City 2



MANCHESTER United bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menundukkan jiran mereka, Manchester City 3-2 pada aksi Perisai Komuniti 2011/12 di Stadium Wembley, London malam tadi.
United dilihat berjaya mendominasi aksi babak pertama tetapi dikejutkan gol pertama City pada minit ke-38 selepas Joleon Lescott menanduk masuk bola sepakan percuma David Silva.
Kedudukan tampak semakin sukar buat United apabila City berjaya mendapatkan gol kedua pada penghujung babak pertama selepas rembatan jarak jauh Edin Dzeko gagal diselamatkan penjaga gol baru United, David de Gea.
Namun pengurus United, Alex Ferguson berjaya memberi kata pembakar semangat di bilik persalinan pada waktu rehat seterusnya membolehkan mereka bangkit membalas tiga gol pada babak kedua.
Tujuh minit permainan bersambung, Chris Smalling merapatkan kedudukan sebelum Nani meledak gol kedua United untuk menjadikan kedudukan terikat 2-2 pada minit ke-58.
Ketika permainan hampir menuju ke penghujungnya, Nani muncul wira apabila berjaya menjaringkan gol ketiga United untuk kemenangan dramatik 3-2.
Kata Nani: “Inilah United. Kami yakin sehingga wisel penamat dan sikap para pemain pada babak kedua membolehkan kami bangkit menyamakan kedudukan.”
Bagi penyerang United, Wayne Rooney pula: “Tampak jelas City bakal menjadi pencabar kejuaraan musim ini. Mereka berjaya jaring dua gol awal tetapi kami berjaya tunjukkan karakter sebenar untuk menang perlawanan ini.”
Ferguson bagaimanapun enggan menyalahkan De Gea berhubung gol kedua yang dilepaskannya.
“Bola itu cukup mengelirukan dan sukar untuk mengatakan bahawa dia mampu menyelamatkannya atau tidak.
“Saya tak percaya kami ketinggalan 0-2 pada babak pertama sedangkan kami lebih menguasai permainan.
“Tapi pujian buat para pemain, mereka berjaya mendapatkan keputusan yang kami mahukan,” ujar Ferguson.
Manchester City: Hart, Richards, Kompany, Lescott, Kolarov (Clichy 73), De Jong, Yaya Toure, Silva, Milner (Adam Johnson 67), Balotelli (Barry 59), Dzeko.
Simpanan tak digunakan:Taylor, Wright-Phillips, Savic, Aguero.
Manchester United: De Gea, Smalling, Ferdinand (Jones 46), Vidic (Evans 46), Evra (Rafael 71), Nani, Carrick (Cleverley 46), Anderson, Young, Rooney, Welbeck (Berbatov 89).
Simpanan tak digunakan: Lindegaard, Park.
Pengadil: Phil Dowd (Staffordshire).


INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!