August 12, 2011

Malaysia Kalah 1-2 Kepada Juara Bertahan Ukraine


Daripada Ahmad Muliady Abdul Majid

Peluang Malaysia untuk melangkah ke peringkat suku akhir kabur setelah tumpas 1-2 kepada Ukraine pada perlawanan bola sepak pertama Kumpulan B pada Sukan Universiti Dunia (Universiade 2011) di Stadium Shenzhen.

Pada babak pertama kedua-dua pasukan bermain secara seimbang namun beberapa asakan yang dilakukan oleh Malaysia gagal menembusi kekebalan jentera pertahanan Ukraine yang merupakan juara bertahan Universiade edisi 2007 di Bangkok, Thailand.

Permainan pada babak kedua semakin rancak apabila kedua pasukan memburu gol pertama masing-masing, kelebihan memihak kepada Malaysia apabila ketua pasukan, K.Reuben Thayaparan menjaringkan gol pertama pada minit ke-46.

Tertekan dengan kedudukan 0-1, pasukan Ukraine mempertingkatkan barisan serangan bagi mengatasi Malaysia dengan beberapa cubaan.

Ukraine menyamakan kedudukan 1-1 menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti yang disempurnakan oleh Dmytro Gunchenko pada minit ke-53.

Seminit sebelum perlawanan tamat, Mykhaylo Kozak menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89 untuk membantu Ukraine memperoleh mata penuh.

Sementara itu, jurulatih skuad kebangsaan, Aminuddin Hussin berkata walaupun mengalami kekalahan, beliau tetap berpuas hati dengan persembahan kesemua anak buahnya.

"Pemain telah menunjukan aksi cemerlang apabila berjaya mengatasi Ukraine 1-0 pada babak awal babak kedua perlawanan namun disebabkan oleh beberapa kesilapan yang dilakukan secara individu kita gagal menyekat kemaraan Ukraine," katanya.

Aminuddin berkata pelung untuk pasukan Malaysia masih belum tertutup dan berharap mereka mampu buktikan sesuatu pada perlawanan berikutnya.

Selepas ini, Malaysia dijadualkan bertemu Brazil pada Sabtu dan Russia pada 16 Ogos.

Juara dan naib juara setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir.
-Bernama

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!