July 31, 2011

Harimau Malaya | Bubar Bukan Penyelesaian


MENANG dipuji melangit namun apabila kalah dikritik habis-habisan! 

Itulah situasi yang berlaku kepada skuad bola sepak Harimau Malaya pimpinan Datuk K Rajagobal gara-gara terkandas setakat peringkat pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia apabila dinafikan Singapura menerusi agregat 4-6, Khamis lalu. 

Segala kemasyhuran dikecap pasukan kebangsaan dengan memenangi pingat emas Sukan Sea Laos 2009 dan Piala AFF Suzuki tahun lalu seakan dilupakan begitu sahaja segelintir peminat Malaysia. 

Paling mengecewakan, terdapat satu laman sosial Facebook diwujudkan peminat mendesak Rajagobal meletak jawatan yang dipegangnya sejak 2009 dan membubarkan struktur skuad kebangsaan. 

Pelbagai cacian dan tohmahan tidak berasas dilemparkan sebagai meluahkan perasaan tidak puas hati kepada pasukan kebangsaan. 

Bagi Unit Sukan Meja Sinar Harian, perkara seumpama itu tidak wajar dilakukan kerana inilah barisan terbaik dimiliki Rajagobal dan dibentuk sejak sekian lama khususnya membawa cabaran negara pada masa depan. 

Namun, terdapat juga sekumpu-lan penyokong setia tetap berdiri teguh dan tidak menyalahkan anak didik Rajagobal kerana mereka sudah melakukan terbaik dan bukan rezeki Malaysia untuk edisi kali ini. 

Mohd Akmal Azman dari Putrajaya berpendapat, ini bukanlah masa sesuai merombak pasukan kebangsaan kerana terdapat ramai pemain berkualiti dalam skuad Rajagobal. 

Menurutnya, cuma mereka tidak mempunyai peluang diturunkan dalam dua pertemuan menentang pasukan Kota Singa itu. 

“Buat apa mahu bubar pasukan kebangsaan kita kerana mereka sudah lama bersama dan mula menunjukkan keserasian dalam permainan. 

“Cuma kesilapan taktik Rajagobal punca kita gagal melangkah ke pusingan seterusnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 

Sementara itu, Shahrul Aizat Said dari Tanjung Karang percaya senario pasti berubah jika Khairul Fahmi Che Mat menggalas peranan sebagai penjaga gol dan bukannya Sharbinee Allawee semasa aksi pertama di Jalan Besar, minggu lalu. 

“Mungkin sudah suratan takdir Malaysia tidak berjaya mengatasi Singapura namun andai Apek diturunkan barangkali keadaan mungkin berubah di Stadium Bukit Jalil, Khamis lalu,” katanya. 

Apa pun yang berlaku, setiap penyokong perlulah memberi sokongan padu buat semua pemain kebangsaan kerana majoritinya masih muda dan mampu menggegar sekurang-kurangnya peringkat Asia kerana sasaran Rajagobal adalah melayakkan pasukan Malaysia ke Piala Asia 2015 kelak. 

Malaysia kini menghuni ranking 146 dunia selepas Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) mengumumkan senarai terbaru pada 27 Julai lalu

INVITE FRIENDS TO CHURPCHURP TODAY!